KHADIJAH KHUWALID Muslimah jutawan terunggul


Khadijah Khuwalid, nama yang tidak asing lagi bagi orang Islam. Beliau adalah isteri kepada Rasulullah dan Ummul Mukminin yang harus dicontohi oleh Muslimah. Ramai yang tahu tetapi tidak ramai yang mengambil iktibar bahawa Khadijah salah seorang Muslimah jutawan dan hartawan yang mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat Mekah pada zamannya.


Tidak banyak diceritakan bagaimana Khadijah beroleh kekayaan. Tetapi secara umumnya, wanita ini menjalankan perniagaan sehingga membolehkannya mengumpul harta.  Selain memiliki kekayaan, beliau juga dari kalangan golongan yang terhormat, dan secara tidak langsung menyebabkan beliau disegani dan dihormati.


Ketika zaman zahiliah dan sebelum kedatangan Islam, Khadijah bukanlah seperti kebanyakan golongan kafir Quraisy yang lain yang bertuhankan berhala. Sebaliknya Khadijah dan keluarga berpegang kepada agama yang dibawa oleh nabi-nabi yang terdahulu.


Sepupunya Waraqah Naufal, salah seorang ilmuan yang mengkaji kitab Yahudi dan Nasrani. Kitab-kitab ini sudah pun menyebut akan kedatangan seorang nabi akhir zaman dan ini antara yang sangat-sangat dinantikan oleh mereka yang masih berpegang pada anutan agama nabi-nabi terdahulu.















Peluang Perniagaan

Sebagai ahli perniagaan wanita, Khadijah biasanya melantik orang lain untuk membawa barang dagangngannya bagi diniagakan di luar Mekah.  Suatu ketika, beliau membuat persediaan untuk berniaga di Syam dan mencari seseorang yang benar-benar amanah untuk membawa barang dagangngannya ke sana.


Inilah yang membawa kepada pengenalan dengan Muhammad apabila bapa saudara Muhammad, iaitu Abu Talib mencadangkan agar Khadijah mengupah Muhammad.  Atas dasar percaya pada Abu Talib, Khadijah menerima cadangan itu dan Muhammad datang bertemu dengan Khadijah untuk berbincang mengenai peluang perniagaan itu.

Sebagai orang baru dalam dunia perniagaan, kejayaan Muhammad membawa keuntungan yang berganda, malah lebih tinggi daripada wakil-wakil terdahulu, amat mengagumkan Khadijah.  Kita tahu bermula detik ini, akhirnya pasangan ini mendirikan rumah tangga.

Khadijah sebagai isteri yang mempunyai status jutawan masih meletakkan kepercayaan kepada suami dalam banyak hal.  Urusan perniagaan banyak diuruskan oleh suami, sementara beliau lebih selesa mendidik anak-anak di rumah.


Menggunakan kekayaan

Apabila Muhammad di angkat sebagai Rasulullah pada usia 40 tahun, mereka berdepan dengan tentangan yang hebat daripada golongan kafir Quraisy.  Detik yang paling hiba apabila mereka dipulaukan oleh orang Mekah.  Dan selama lebih 3 tahun hidup dalam pemulauan, Khadijah menggunakan seluruh kekayaannya untuk membantu perjuangan suaminya.


Disebabkan itu, Rasulullah amat menghargai pengorbanan Khadijah. Tahun Khadijah meninggal dunia disebut 'Tahun Kesedihan' dan Rasulullah sendiri apabila ditanya tentang kebaikan Khadijah akan menjawab, "Demi Allah, Tuhan tidak memberi ku pengganti yang lebih baik daripada Khadijah.  Dia beriman saat orang lain mengingkariku.  Dia membenarkanku saat orang lain mendustaiku.  Dia yang membantuku saat orang lain tidak mahu menghulur tangan padaku.  Melalui dia, Allah kurniakan keturunan kepadaku, suatu hal yang tidak aku beroleh dari wanita-wanita yang lain."


Yang jelas Khadijah bukan sekadar kaya harta, tetapi juga perkerti akhlak.  Bukankah ini jutawan Muslimah yang harus diteladani?   Sama-samalah kita renungkan dan fikirkan.








Jutawankah muslimah di dalam gambar ini?  Yang pasti jutawan bukan pada duit dan kekayaan semata tetapi hati yang suci murni itulah jutawan yang sebenar.

 
  
Hakcipta terpelihara  © 2008 ILHAM NISHA
I Ebook I Komentar I Utama I